Ramai Yang Tahu Doa Terbaik Ini Tapi Tidak Tahu Makna Disebaliknya

11 June 2020

Apakah doa terbaik itu?

Allah s.w.t berfirman;

doa terbaik
Doa terbaik yang kita kerap baca

"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Surah Al-Baqarah:201)

Kebanyakan doa yang disebut di dalam al-Quran banyak bermula dengan bertawassul dengan kekuasaan Allah. Kerana dengan bertawassul itu adalah cara terbaik untuk kita mencapai apa yang dihajatkan serta dijauhkan dari perkara buruk yang tidak diinginkan.

Jika kita lihat, kebanyakan doa dalam al-Quran menggunakan perkataan Rabbana (ربنا) yang bermaksud "Wahai Tuhan kami" atau Rabbi (ربي/رب) yang bermaksud "Wahai Tuhanku". Maknanya kita sedang iktiraf bahawa Dialah yang paling berkuasa kerana Dia yang memiliki segala perkara. Kita ini hanyalah hamba yang lemah yang perlu kepadaNya.

https://www.youtube.com/watch?v=OBmPol1UL14
40 doa yang dimulakan dengan Rabbana dalam Al-Quran

Inilah yang dimaksudkan dengan bertawassul dengan kekuasaan Allah. Kita sedang merendah diri di hadapan Allah dan kita sedar bahawa tiada perkara yang boleh tunaikan apa yang kita minta kecuali Allah kerana Dia yang memiliki segala-galanya.

Pada ayat sebelumnya, Allah sebut tentang sebahagian manusia berdoa meminta kebaikan di dunia sahaja. Ibnu Abbas pernah menceritakan ada suatu kaum Badwi berdoa, "Ya Allah, berikanlah tahun yang penuh dengan hujan, kesuburan, keberuntungan dan kebaikan" sedangkan mereka tidak minta sedikitpun tentang perkara akhirat. Syeikh Abdurrahman as-Sa'di berkata, pilihan yang buruk adalah meminta kebaikan di dunia dan isinya sahaja.

Apakah inti doa terbaik ini?

Dalam doa ini kita dapat lihat bahawa permintaan untuk mendapat hasanah (kebaikan) di dunia dan di akhirat digabungkan sekali. Maknanya pasti ada kaitan yang rapat apabila kita diajar untuk gabungkan hasanah dunia dan akhirat.

Hasanah (kebaikan) dunia itu adalah istilah yang padat dengan pelbagai maksud dan Imam Ibn Kathir sebut ia merangkumi semua bentuk kebaikan. Antaranya ilmu yang bermanfaat, ringan untuk lakukan amal soleh, kesihatan tubuh badan, tenang hati. Tidak lupa juga rezeki yang halalan toyyiban seperti makan, minum, pasangan, rumah dan sebagainya. Kebaikan-kebaikan ini terangkum dalam في الدنيا حسانة tadi.

Manakala bagi hasanah akhirat pula membawa maksud segala ganjaran kebaikan yang Allah janjikan buat para rasul, nabi, wali-waliNya dan seumpama dengannya. Hasanah akhirat ini kita tidak dapat lihat dan alami sekarang, ketika masih hidup. Tetapi ianya adalah janji Allah pada orang yang cintakanNya serta taat dan patuh perintah-perintahNya.

Tidaklah disebut secara khusus bentuk-bentuk kebaikan itu. Tetapi jika kita lihat tafsir oleh para ulama serta para sahabat, makna hasanah itu sangat banyak dan semua kebaikan-kebaikan terangkum dalam perkataan tersebut. Dari banyaknya bentuk hasanah itu, Allah lebih tahu mana yang terbaik untuk diri kita.

Permintaan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat ini sebenarnya membawa kepada matlamat yang satu iaitu supaya diri kita terselamat dari Neraka yang disebut selepasnya وقنا عذاب النار.

neraka 1
Matlamat doa terbaik untuk menghindari neraka Allah swt.

Apabila kita minta selamat dari neraka, ini juga termasuk dengan perkara-perkara yang akan menjerumuskan kita ke neraka di atas dunia seperti perbuatan maksiat dan dosa. Syaikh Dr Salih Abdullah Bin Humaid (Imam Masjidil Haram) terangkan bahawa doa ini termasuk dalam doa yang paling lengkap isinya dan kerana itulah Rasulullah sering membacanya.

Ada diceritakan ada sebahagian ulama silam apabila mereka mempunya sesuatu hajat, mereka akan berdoa dengan doa ini kerana mereka faham betapa besarnya makna disebalik doa ini.

Contohnya, jika ada yang nak berkahwin dengan pasangan yang solehdan solehah, boleh sahaja gunakan ini. Seperti yang disebutkan sebelumnya, hasanah didunia itu termasuklah mendapat pasangan baik, soleh/ah yang menjadi penyejuk mata dan penawar di hati.

Begitu juga jika ada yang mahukan rumah yang baik, maka berdoalah dengan doa terbaik ini minta pada Allah s.w.t. Sama juga jika kita inginkan ilmu, dijauhkan dari dosa dan sebagainya.

Dalam doa ini, permintaan untuk dapat hasanah dunia dan akhirat digabungkan menandakan apa sahaja kita minta di dunia biarlah yang boleh menyebabkan kita sampai ke syurga dan dijauhkan dari neraka. Mesti akhirat-oriented. Akhirat adalah tujuan kita manakala dunia ini adalah ladangnya.

Nak minta pasangan, biarlah pasangan yang boleh bawa sampai ke syurga, nak minta rumah biarlah rumah itu menyebabkan kita boleh ke syurga, bukan sekadar besar dan cantik sahaja.

Subhanallah begitu indah jika kita belajar dari doa terbaik ini. Nak minta apa-apa rezeki atau kebaikan di dunia, mintalah... Tapi biarlah boleh menyebabkan ke syurga. Itulah yang dimaksudkan dalam doa terbaik yang ringkas dan padat ini.

Syeikh as-Sa'di sebut, doa-doa dari al-Quran adalah doa terbaik untuk diamalkan dalam hidup kita kerana doa itu datang dari Allah s.w.t sendiri dan diamalkan oleh para rasul. Maka sewajarnya kita juga perlu beramal dengan doa-doa ini.

Kesimpulannya, tidak salah kita nak minta kebaikan atau kesenangan di dunia, tetapi biarlah kebaikan yang kita minta itu boleh menolong kita di akhirat nanti. Inilah yang perlu menjadi mindset bagi seorang mukmin, mindset akhirat-oriented.

Wallahu'alam

Hakim Rasid

#QuranicSupplication

Risalah Harmoni

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Dapatkan buku terkini secara online!

Kedai buku Risalah Harmoni dibuka 24 / 7!
Pembelian melalui website.
Risalah Harmoni Sdn Bhd 2023
Terms & Conditions | Privacy Policy
Designed by My Class Marketing
Buku
Merchandise
Questions or Feedbacks?
We'd love to hear from you
Buku
Merchandise
Contact us through WhatsApp
Risalah Harmoni Sdn Bhd 2020. Terms & Conditions | Privacy Policy. Designed by overlord_access
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram