Apa yang kita boleh belajar dari kisah Nabi Zakaria a.s?
1. Kisah Nabi Zakaria yang dirakamkan dalam 3 surah yang berlainan iaitu di dalam Surah Ali-Imran, Surah Maryam dan Surah al-Anbiya'. Persamaan yang dapat dilihat adalah tentang doa Nabi Zakaria memohon kepada Allah untuk mengurniakan zuriat bagi meneruskan kerja dakwah Baginda.
2. Di dalam al-Quran, kita dikhabarkan bahawa ketika Nabi Zakaria berdoa itu baginda sudah lemah tua sebagaimana yang diadu oleh baginda;
"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu." (Surah Maryam: 4)
Ada ulama' yang menyatakan bahawa umur baginda dah mencapai 100 tahun manakala isteri baginda berumur 90 tahun dan mandul. Maka bagaimana mungkin baginda hendak memperolehi zuriat?
Disinilah dapat kita belajar bahawa Allah Maha Berkuasa untuk lakukan apa sahaja. Sekalipun akal manusia kata tidak logik dan mustahil tetapi ia tidak mustahil bagi Allah. Semua perkara adalah mudah dan tidak menjadi masalah pun untuk-Nya.
Allah s.w.t berfirman:
"Hal itu mudah bagiKu..." (Surah Maryam: 9)
Akhirnya Allah s.w.t kabulkan permohonan baginda dan kurniakan seorang anak lelaki dan lebih istimewa Allah sendiri yang pilih nama untuk anak baginda iaitu Yahya a.s.
3. Jika kita lihat doa baginda kita akan belajar tentang adab dan etika ketika berdoa meminta sesuatu dari Allah s.w.t.
Dari kisah Nabi Zakaria kita boleh faham bahawa apa yang kita doa tidak semestinya dikabulkan dalam sekelip mata. Adakalanya apa yang kita minta itu Allah tidak kabulkan dan ganti dengan yang lain atau Allah tangguhkan pada waktu yang Dia kehendaki.
Baginda tidak pernah berputus asa untuk berdoa pada Allah memohon dikurniakan zuriat. Baginda tetap berdoa pada Allah tanpa rasa jemu. Inilah sifat ikhlas seorang hamba dengan Tuhannya.
Pengajaran buat kita juga yang kadang-kadang suka tergesa-gesa dalam berdoa. Kalau boleh nak Allah kabulkan doa sekelip mata juga. Apabila hendak meminta sesuatu dari Allah, jadi rajin ibadah dan buat amal kebaikan. Tetapi andaikata Allah belum kabulkan dia berputus asa dan kembali lupakan Allah.
Jika kita renung semula kisah Nabi Zakaria, Baginda tidak pernah berputus asa untuk memohon kepada Allah hatta baginda dah tua yang amat sangat. Dan penantian itu tidak mengurangkan ketaatan baginda terhadap Allah.
Ini yang kita boleh amalkan dalam hidup kita, jangan pernah berputus asa untuk meminta kepadaNya sekalipun dia belum kabulkan. Dan jangan pula ketaatan kita kepada Allah berkurang kerana Allah belum kabulkan apa yang kita minta.
4. Apabila hendak meminta sesuatu dari Allah, pujilah Allah terlebih dahulu, akui kekurangan dan kelemahan diri di hadapan Allah, nyatakan rasa betapa perlunya kita pada Allah dalam hidup kita. Ulama kata, inilah antara adab berdoa dan sebab Allah kabulkan doa kita.
5. Berdoalah dengan suara yang perlahan, tidak perlu sampai memekik melolong kerana berdoa dengan suara yang perlahan dan rendah menggambarkan kita merendah diri di hadapan Allah s.w.t.
6. Allah tidak mengulang kisah yang sama di dalam al-Quran tanpa sebab. Apabila Allah s.w.t mengulang-ulang sesuatu menandakan ada mesej penting yang perlu kita faham dan pegang.
Oleh kerana sikap manusia yang suka tergesa-gesa untuk dimakbulkan, andai kata tidak dapat maka dia meninggalkan doa. maka kita perlu lihat bagaimana sabarnya Nabi Zakaria meminta dari Allah dan penantian itu tidak pula mengurangkan ketaatan baginda kepada Allah.
Hakikatnya inilah yang berlaku dalam hidup kita seharian, ada perkara yang kita mahukan maka kita berdoa, memohon kepadaNya. Adakalanya kita perlu bersabar dan terus berdoa dalam masa yang lama sehinggalah Allah tunaikan permintaan kita itu. Apa yang Allah tunaikan itu sebenarnya adalah hadiah yang terbaik untuk kita dariNya, berbaloilah penantian kita tersebut.
Wallahualam.
Penulis: Ustaz Hakim Rasid