Berbunga hati apabila mendapat khabar kenalan terdekat kita dikurniakan rezeki berbadan dua. Teringat dahulu teman baik menghantar mesej WhatsApp kepada saya. Beliau memaklumkan berita dua garis pada kit ujian kehamilan, tanda positif beliau mengandung. Bergenang air mata keharuan kerana setelah 2 tahun beliau mengikat tali pernikahan dengan suaminya dan ini merupakan kandungan pertama beliau.
Kemudian beliau bertanyakan, buku apa yang boleh beliau baca sebagai panduan mengenai kehamilan dan kelahiran. Soalan ini pernah juga ditanyakan oleh teman rapat saya yang lain kerana saya antara yang terawal berpengalaman mengandung dan melahirkan anak.
Berikut adalah bahan bacaan serta informasi mengenai kandungan dan kelahiran.
1. Laman Web babycenter.com.my
Kita boleh memilih sama ada membuat bacaan berkala mengikut topik yang diingini atau langgan secara percuma dengan memasukkan usia kandungan dan alamat emel kita. Sepanjang tempoh mengandung, setiap hari Isnin, kita akan menerima emel informasi mengikut minggu kandungan tersebut. Laman ini diiktiraf oleh healthonnet.org. Jika artikel yang disiarkan berkaitan kesihatan kandungan, pada akhir kata kita akan disarankan untuk berjumpa dengan ahli perubatan yang diiktiraf untuk diagnosis dan rawatan lanjut.
2. Buku Info Kehamilan dan Kelahiran
Terdapat banyak buku panduan kehamilan dan kelahiran yang kita boleh dapati di pasaran. Bahan bacaan yang saya pilih adalah:
a) Kehamilan dari Prakonsepsi sehingga Kelahiran
Buku ini terjemahan semula daripada buku Pregnancy from Preconception to Birth. Ianya merupakan tulisan gabungan pakar dari United Kingdom yang menulis di laman web babycenter. Info yang diberikan mengikut minggu kelahiran. Seperti tajuk buku, bermula dari persediaan sebelum mengandung sehingga melahirkan anak.
b) The Complete Idiot's Guide To Pregnancy & Childbirth
Buku ini saya beli daripada kedai buku terpakai dengan harga yang sangat rendah. Selain info berkaitan kehamilan, ianya juga memberi saranan apa yang ibu boleh buat mengikut tempoh kandungan. Juga maklumat penting yang perlu diambil tahu oleh suami. Buku ini seronok dibacakan bersama-sama pasangan.
c) Buku Pink: Cerita-cerita Ibu Mengandung (Siri 1 & 2)
Buku ini adalah perkongsian pengalaman, panduan kesihatan dan info berkaitan kehamilan serta kelahiran. Ditulis oleh ahli perubatan di Malaysia dengan nada santai, runcit dengan pelbagai kisah lucu, memberi inspirasi dan menyentuh hati.
3. Perkongsian di Media Sosial
Selain itu, kita juga boleh ikuti perkongisan doktor yang ahli dalam dunia kehamilan dan kelahiran. Contohnya Dr. Imelda Balchin, Dr. Muhammad Izzat dan rakan seangkatan. Mereka adalah antara doktor yang berkecimpung secara langsung menyantuni wanita hamil dan menyambut kelahiran bayi.
4. Nasihat Jururawat dan Doktor
Setiap kali menghadiri temu janji berkala di Klinik Kesihatan Kerajaan, ceritakan sebarang perubahan yang berlaku pada badan dan ajukan apa-apa pertanyaan yang kita tidak faham daripada bahan bacaan berkaitan kandungan serta kelahiran. Syukur jururawat yang memantau saya pada kedua-dua kandungan amat prihatin dan memberi servis terbaik sehingga saya selamat melahirkan anak. Juga doktor yang sering memberi penerangan berdasarkan fakta dengan laras bahasa mudah difahami. Kadang kala, saya bertanyakan sahabat berkerjaya sebagai doktor melalui mesej apa yang perlu saya buat untuk masalah sekian-sekian. Akhirnya jawapan yang diberikan adalah meminta saya ke hospital, kerana diagnosis secara muka-ke-muka lebih jelas dan meyakinkan sebagai pertimbangan rawatan apa yang sesuai untuk diberikan.
Jika dahulu, informasi tentang kesihatan wanita hamil dan bersalin amat sukar didapati. Lalu timbullah petua yang bermanfaat, tidak kurang juga mitos yang memudaratkan.
Kini, kita dilambaki dengan pelbagai info yang mudah dicari kerana semuanya di hujung jari. Sebagai ibu bapa yang bakal menyambut cahaya mata, pastikan info yang didapati adalah sahih. Apa yang kita baca jadikan ia sebagai informasi awam, yang bertujuan mendidik kita.
Elakkan daripada bertanya secara atas talian kerana setiap wanita hamil mempunyai rekod kesihatan yang berbeza. Sebarang keraguan mengenai tahap kesihatan ibu dan kandungan bayi, sila dapatkan rawatan dengan doktor atau pakar perubatan kesihatan.
Kepada yang bakal menimang cahaya mata, semoga penulisan ini bermanfaat buat kalian.
Hanisah Ismail,
Ibu kesah kerana ibu kaseh.