Akhlak Hadapi COVID-19: 7 Teladan Dari Surah Yusuf
1. Menjadi ayah yang dicintai
Ayat 4:
إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَٰٓأَبَتِ إِنِّى رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِى سَٰجِدِينَ
(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku".
Dari ayat berikut, kita cuba pada panggilan Nabi Yusuf kepada ayahnya dengan “يَٰٓأَبَتِ (Ya Abati)” yang bermaksud “wahai ayah yang aku cintai”, bukan “Abi” yang menjadi kebiasaan masyarakat umum. Ayat ini menakjubkan kita semua kepada Nabi Yusuf kerana sebelum beliau menceritakan mimpi, beliau meletakkan nilai kasih sayang dan cinta antara seorang anak dan ayahnya serta pastinya perhubungan ini dirakamkan bertujuan menunjukkan hubungan mesra mereka yang sudah terjalin begitu lama.
Maka, sepanjang tempoh PKP ini, sebagai seorang ayah, haruslah kita menjadi pendengar kepada anak-anak kita atau ahli keluarga kita. Tanyalah pada diri, adakah berlaku peningkatan kualiti kekeluargaan atau kita sudah menjadi ketua keluarga yang baik sepanjang 6 minggu bersama keluarga?. Paling kurang, kita menjadi pendengar kepada anak-anak kecil bercerita walaupun sekadar kisah imaginasi, dongeng dan mimpi mereka.
“Children will listen to you after they feel listened to”
Karakter ibubapa Nabi Yaqub diiktiraf oleh Allah dalam ayat ini, di mana perkataan “لأبي (Abi) disebutkan. Bahkan, jika disebut dengan “ليعقوب" juga membawa pengertian yang sama dan boleh juga difahami. Namun, Allah memuliakan beliau sesuai dengan tindakannya sebagai bapa kepada anak-anaknya, 11 orang kesemuanya. Pemilihan perkataan dalam Al-Quran amatlah tepat dan mempunyai mesej tersendiri.
2. Menjauhi zina mata atau pornografi
Ayat 23:
وَرَٰوَدَتْهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِۦ وَغَلَّقَتِ ٱلْأَبْوَٰبَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ إِنَّهُۥ رَبِّىٓ أَحْسَنَ مَثْوَاىَ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّٰلِمُونَ
Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".
Allah menggambarkan usaha isteri Al-Aziz (atau lebih dikenali dengan gelaran Zulaikha, nama sebenar Ra’il dalam Tafsir al-Baghawi) yang cuba menggoda Nabi Yusuf akibat tidak menundukkan pandangan melihat ketampanannya. Bermula dari pandangan, dia cuba menggoda Nabi Yusuf dan akhirnya kepada tindakan fizikal mengunci pintu agar maksiatnya tidak dilihat oleh orang ramai. Dia berkata “هيت لك" menunjukkan akalnya sudah tidak waras dan syaitan benar-benar telah menguasainya. Yusuf tidak tunduk pada godaan itu (ketika itu bujang) dan mengucapkan doa yang sewajarnya di mana beliau merasa Allah Maha Melihat lalu memohon perlindungan-Nya.
Sepanjang RMO ini, kita bimbang dengan statistik yang dikeluarkan oleh satu laman web porno di mana Malaysia menduduki tempat tertinggi mengakses pornografi. Nauzubillahi min zalik. Bermula dari pandangan, syaitan bekerja menghiasi keindahan maksiat mata, lalu menggelapkan hati seterusnya berkemungkinan berpindah kepada tindakan fizikal jika tidak dibendung dengan baik selepas perintah berkurung ini. Kita mungkin cuti berehat di rumah #StayHome namun syaitan tidak pernah berehat dari kerja asasinya.
Surah Yusuf dengan jelas menceritakan bagaimana operasi seseorang mampu mengheret ke lembah perzinaan serta solusi doa (pertahanan) yang diajarkan. Kisah ini pendek kata boleh dijadikan pedoman kepada kaum lelaki yang muda, bujang dan berjauhan dari ibubapa atau masyarakat, di negara bukan Islam mirip dengan situasi Nabi Yusuf. Indahnya surah ini juga, Allah mencatat sebagai pemerhati segala perbuatan isteri Al-Aziz sama ada tersurat dan tersirat di dalam hati sedangkan tiada manusia memerhatikan kecuali Allah.
Bersambung...
Klik penuh di sini