Ramai Yang Tahu Doa Terbaik Ini Tapi Tidak Tahu Makna Disebaliknya

11 June 2020

Apakah doa terbaik itu?

Allah s.w.t berfirman;

doa terbaik
Doa terbaik yang kita kerap baca

"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Surah Al-Baqarah:201)

Kebanyakan doa yang disebut di dalam al-Quran banyak bermula dengan bertawassul dengan kekuasaan Allah. Kerana dengan bertawassul itu adalah cara terbaik untuk kita mencapai apa yang dihajatkan serta dijauhkan dari perkara buruk yang tidak diinginkan.

Jika kita lihat, kebanyakan doa dalam al-Quran menggunakan perkataan Rabbana (ربنا) yang bermaksud "Wahai Tuhan kami" atau Rabbi (ربي/رب) yang bermaksud "Wahai Tuhanku". Maknanya kita sedang iktiraf bahawa Dialah yang paling berkuasa kerana Dia yang memiliki segala perkara. Kita ini hanyalah hamba yang lemah yang perlu kepadaNya.

40 doa yang dimulakan dengan Rabbana dalam Al-Quran

Inilah yang dimaksudkan dengan bertawassul dengan kekuasaan Allah. Kita sedang merendah diri di hadapan Allah dan kita sedar bahawa tiada perkara yang boleh tunaikan apa yang kita minta kecuali Allah kerana Dia yang memiliki segala-galanya.

Pada ayat sebelumnya, Allah sebut tentang sebahagian manusia berdoa meminta kebaikan di dunia sahaja. Ibnu Abbas pernah menceritakan ada suatu kaum Badwi berdoa, "Ya Allah, berikanlah tahun yang penuh dengan hujan, kesuburan, keberuntungan dan kebaikan" sedangkan mereka tidak minta sedikitpun tentang perkara akhirat. Syeikh Abdurrahman as-Sa'di berkata, pilihan yang buruk adalah meminta kebaikan di dunia dan isinya sahaja.

Apakah inti doa terbaik ini?

Dalam doa ini kita dapat lihat bahawa permintaan untuk mendapat hasanah (kebaikan) di dunia dan di akhirat digabungkan sekali. Maknanya pasti ada kaitan yang rapat apabila kita diajar untuk gabungkan hasanah dunia dan akhirat.

Hasanah (kebaikan) dunia itu adalah istilah yang padat dengan pelbagai maksud dan Imam Ibn Kathir sebut ia merangkumi semua bentuk kebaikan. Antaranya ilmu yang bermanfaat, ringan untuk lakukan amal soleh, kesihatan tubuh badan, tenang hati. Tidak lupa juga rezeki yang halalan toyyiban seperti makan, minum, pasangan, rumah dan sebagainya. Kebaikan-kebaikan ini terangkum dalam في الدنيا حسانة tadi.

Manakala bagi hasanah akhirat pula membawa maksud segala ganjaran kebaikan yang Allah janjikan buat para rasul, nabi, wali-waliNya dan seumpama dengannya. Hasanah akhirat ini kita tidak dapat lihat dan alami sekarang, ketika masih hidup. Tetapi ianya adalah janji Allah pada orang yang cintakanNya serta taat dan patuh perintah-perintahNya.

Tidaklah disebut secara khusus bentuk-bentuk kebaikan itu. Tetapi jika kita lihat tafsir oleh para ulama serta para sahabat, makna hasanah itu sangat banyak dan semua kebaikan-kebaikan terangkum dalam perkataan tersebut. Dari banyaknya bentuk hasanah itu, Allah lebih tahu mana yang terbaik untuk diri kita.

Permintaan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat ini sebenarnya membawa kepada matlamat yang satu iaitu supaya diri kita terselamat dari Neraka yang disebut selepasnya وقنا عذاب النار.

Matlamat doa terbaik untuk menghindari neraka Allah swt.

Apabila kita minta selamat dari neraka, ini juga termasuk dengan perkara-perkara yang akan menjerumuskan kita ke neraka di atas dunia seperti perbuatan maksiat dan dosa. Syaikh Dr Salih Abdullah Bin Humaid (Imam Masjidil Haram) terangkan bahawa doa ini termasuk dalam doa yang paling lengkap isinya dan kerana itulah Rasulullah sering membacanya.

Ada diceritakan ada sebahagian ulama silam apabila mereka mempunya sesuatu hajat, mereka akan berdoa dengan doa ini kerana mereka faham betapa besarnya makna disebalik doa ini.

Contohnya, jika ada yang nak berkahwin dengan pasangan yang solehdan solehah, boleh sahaja gunakan ini. Seperti yang disebutkan sebelumnya, hasanah didunia itu termasuklah mendapat pasangan baik, soleh/ah yang menjadi penyejuk mata dan penawar di hati.

Begitu juga jika ada yang mahukan rumah yang baik, maka berdoalah dengan doa terbaik ini minta pada Allah s.w.t. Sama juga jika kita inginkan ilmu, dijauhkan dari dosa dan sebagainya.

Dalam doa ini, permintaan untuk dapat hasanah dunia dan akhirat digabungkan menandakan apa sahaja kita minta di dunia biarlah yang boleh menyebabkan kita sampai ke syurga dan dijauhkan dari neraka. Mesti akhirat-oriented. Akhirat adalah tujuan kita manakala dunia ini adalah ladangnya.

Nak minta pasangan, biarlah pasangan yang boleh bawa sampai ke syurga, nak minta rumah biarlah rumah itu menyebabkan kita boleh ke syurga, bukan sekadar besar dan cantik sahaja.

Subhanallah begitu indah jika kita belajar dari doa terbaik ini. Nak minta apa-apa rezeki atau kebaikan di dunia, mintalah... Tapi biarlah boleh menyebabkan ke syurga. Itulah yang dimaksudkan dalam doa terbaik yang ringkas dan padat ini.

Syeikh as-Sa'di sebut, doa-doa dari al-Quran adalah doa terbaik untuk diamalkan dalam hidup kita kerana doa itu datang dari Allah s.w.t sendiri dan diamalkan oleh para rasul. Maka sewajarnya kita juga perlu beramal dengan doa-doa ini.

Kesimpulannya, tidak salah kita nak minta kebaikan atau kesenangan di dunia, tetapi biarlah kebaikan yang kita minta itu boleh menolong kita di akhirat nanti. Inilah yang perlu menjadi mindset bagi seorang mukmin, mindset akhirat-oriented.

Wallahu'alam

Hakim Rasid

#QuranicSupplication

Apa yang kita boleh belajar dari doa Ashabul Kahfi?

Ketika pemuda-pemuda yang dipanggil sebagai Ashabul Kahfi melarikan diri ke gua untuk menyelamatkan agama mereka. Maka mereka berdoa;

doa ashabul kahfi
Doa yang dibacakan oleh Ashabul Kahfi

"Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami". (Surah al-Kahfi:10)

Pada ayat seterusnya Allah menggunakan perkataan (ف) yang bermaksud kemudian/lalu. Penggunaan huruf ف ini menandakan lalu/kemudian itu berlaku serta merta selepas mereka berdoa kepada Allah s.w.t tadi. Maksudnya doa itu terus dikabulkan.

Cuba kita tengok apa elemen yang ada dalam doa ini, sebagaimana dalam tulisan yang saya kongsikan sebelum ini, doa Nabi Musa a.s. Dalam doa ini juga terdapat elemen merendah diri dan meletakkan sepenuh pengharapan pada Allah. Menandakan betapa pentingnya kita berdoa dengan merendah diri dengan penuh rendah diri serta mengharap pada Allah s.w.t.

Apa kata ulama' berkaitan doa Ashabul Kahfi?

Prof. Dr. Wahbah Zuhaili pula terangkan bahawa mereka menggabungkan antara usaha dan menjauhkan diri dari fitnah (ujian) dengan sikap tadharru’ (merendahkan diri) dan meminta kepada Allah, serta tidak bersandar kepada diri dan orang lain. Oleh karena itu, Allah s.w.t mengabulkan doa mereka.

Kisah pemuda al-Kahfi ketika menuturkan doa ini mempunyai persamaan dengan kisah Nabi Musa iaitu mereka berada dalam ketakutan, penat, lapar dsb. Tiada orang lain yang dapat menolong mereka melainkan dari pertolongan Allah s.w.t. Dalam keadaan takut, lapar, penat itu mereka berdoa pada Allah s.w.t.

Sebagai tambahan, walaupun dalam keadaan takut, mereka yakin dengan Allah s.w.t bahawa Allah akan kabulkan doa mereka. Allah pasti akan kabulkan doa orang yang yakin. Ia juga mengajar kita juga bahawa tidak salah berdoa dalam keadaan takut. Rasa yakin inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan hadis,

"Aku menurut sangkaan hambaKu.."

Ustaz Syaari dalam bukunya, Lelaki Hebat dalam al-Quran terangkan, jika kita lihat perkataan (مِن لَّدُنكَ) dalam doa tersebut, bukan sekadar bermaksud "Ya Allah berilah rahmat dari sisiMu", tetapi perkataan (مِن لَّدُنكَ) bermaksud berilah kepada mereka rahmat dari sumber yang istimewa yang barangkali tidak pernah Tuhan tolong dengan cara sebegitu.

Lokasi Ashabul Kahfi

Kemudian Allah kabulkan segera doa mereka serta merta dengan cara yang cukup luar biasa iaitu dengan menidurkan mereka selama beberapa ratus tahun dan tubuh badan mereka terjaga dari mereput atau rosak. Ada riwayat mengatakan bahawa tubuh mereka digerak-gerakkan supaya tidak mereput.

Ulama pula menerangkan perkataan rahmat itu mempunyai pelbagai maksud rahmat. Rahmat dalam bentuk pengampunan dosa oleh Allah s.w.t, rahmat dalam bentuk keselamatan serta rahmat dalam bentuk rezeki di dunia seperti makan dan minum dsb.

Pada bahagian kedua dalam doa ini, (وَهَیِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدࣰا), Syeikh Dr Muhammad Sulayman al-Asyqar pesan pada kita untuk memberikan perhatian pada ayat ini kerana Ashabul Kahfi tadi meminta mereka meminta kepada Allah agar amalan mereka itu menjadi sebab datangnya petunjuk dari Allah s.w.t kepada mereka. Supaya dengan amalan itu menyebabkan mereka mendapat petunjuk dan bimbingan dari Allah s.w.t.

Syeikh Abdurrahman as-Saadi pula terangkan bahawa maksud bahagian kedua ini adalah, "permudahkanlah kepada kami segala sebab yang membawa kepada petunjuk, perbaikilah urusan dunia dan akhirat kami."

Kita digalakkan untuk membaca surah al-Kahfi supaya terselamat dari fitnah Dajjal. Tapi tidak memadai jika kita sekadar membaca sahaja tanpa merenung dan merungkai mesej yang hendak disampaikan dalam Surah al-Kahfi.

Jika kita baca bahagian awal surah (kisah ashabul kahfi) dan akhir surah (kisah Zulkarnain), kita sedang diajar supaya dalam keadaan susah atau senang sentiasalah merendah diri dan meminta pada Allah. Bukannya rasa diri hebat atau mengharap orang lain untuk memberi sesuatu pada kita.

Inilah yang akan selamatkan diri kita dari fitnah Dajjal kerana dajjal akan buatkan kita rasa perlu kepada pemberiannya. Jika kita berjaya mengambil pengajaran dari doa dan surah ini secara amnya, kita akan katakan, "Tidak, sekalipun aku susah aku akan minta pada Allah sahaja kerana hanya Dia sahajalah tempat aku meminta bukan maklukNya."

*Untuk lebih memahami surah al-Kahfi ini, saya sarankan untuk baca buku Lelaki Yang Hebat Dalam al-Quran oleh Ust Syaari Abd Rahman.

Kesimpulan dan ibrah doa Ashabul Kahfi?


1. Rahsia makbulnya doa adalah sifat rendah diri dan mengharap pada Allah.

2. Perkataan rahmat itu bersifat umum, maka Allah s.w.t lebih tahu bentuk rahmat bagaimana yang sesuai mengikut keadaan atau keperluan hambaNya.

2. Mengharapkan dengan sebab sesuatu amal yang kita lakukan, Allah berikan petunjuk pada kita dan menambahbaik urusan agama dan dunia kita.

3. Dajjal akan menguji manusia dengan senang dan susah, dalam apa jua keadaan kepada Allah sahaja kita meminta dan kembali.

Wallahu'alam

Hakim Rasid

#QuranicSupplication

Klik: Tafsir Al-Azhar HAMKA Surah Al-Kahfi

Posting Asal : sini

Info Tafsir Al-Azhar HAMKA terbitan Bahasa Melayu

* Softcover & tiada kotak khas

* Saiz setiap juzuk: 6 inci x 9 inci

* Purata ketebalan setiap juzuk: 0.5 - 1 inci

* Purata muka surat bagi setiap juzuk: 300 - 400 halaman

* Anggaran ketebalan untuk satu set lengkap 30 juzuk: 20 - 21 inci

* Tulisan asal HAMKA dalam Bahasa Melayu (Indonesia) dikekalkan. 

* Tulisannya mudah difahami oleh penutur bahasa Melayu di seluruh nusantara.

Juzuk Tafsir Al-Azhar HAMKA untuk masyarakat umum

Apa kelebihan Tafsir Al-Azhar HAMKA ini?

Ada lima sebab utama:

1. Bahasanya mudah dan indah.

2. Tafsirannya dekat di hati.

3. Penafsirnya adalah ulama yang diperakui oleh para tokoh agama.

4. Format buku biasa yang mudah dibawa ke sana sini.

5. Pakej lengkap 30 buku, 30 juzuk Al-Quran pada harga ekonomi.

Harga ekonomi Tafsir Al-Azhar beserta percuma buku Sejarah Umat Islam

Mengapa anda harus memiliki Tafsir Al-Azhar di rumah anda?

1. Kerana ia mengandungi pelbagai bidang ilmu, ditafsirkan dalam bentuk yang ringan lagi mudah difahami.

2. Kerana ia disulami dengan bahasa Melayu indah Buya Hamka yang tak jemu dibaca berulang-ulang kali.

3. Kerana ia ditulis dengan citra Melayu yang mana contoh dan konteks yang dekat dengan masyarakat dan budaya Melayu nusantara.

4. Kerana di rumah sudah ada Quran, Quran terjemahan tetapi tiada tafsir Al-Quran.

Tafsir Al-Azhar adalah hasil karya terbesar ulama agung nusantara iaitu Profesor Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah ataupun lebih dikenali sebagai HAMKA.

Tafsir ini mudah difahami dan diolah dengan suasana alam nusantara. Bahasanya lebih santai dan disulami sastera indah oleh HAMKA.

HAMKA menggunakan beberapa metode dalam penyusunan tafsir ini antaranya adalah metode tahlili (analisis), tafsir Al-Quran dengan Al-Quran, Tafsir Al-Quran dengan hadith, tafsir Al-Quran dengan pendapat sahabat dan tabi’in, dan tafsir Al-Quran dengan tafsir muktabar yang lain. Di samping itu, beliau juga mentafsirkan Al-Quran dengan menggunakan syair dan menganalisis dengan kemampuan sendiri melalui pendekatan meraikan kepelbagaian mazhab.

Kelebihan pentafsiran Al-Quran oleh HAMKA kerana beliau menitikberatkan penjelasan ayat-ayat Al-Quran dengan ungkapan yang teliti, menjelaskan makna-makna yang dimaksudkan dengan bahasa yang indah dan menarik serta menghubungkan ayat dengan realiti sosiobudaya masyarakat nusantara. Ia turut diperkaya dengan pendekatan sejarah, sosiologi, tasawuf, ilmu kalam, sastera dan psikologi.

tafsir al-azhar HAMKA
Sesuai untuk wakaf ke madrasah, sekolah, dan masjid untuk pendedahan kepada masyarakat

Apa keunikan Tafsir Al-Azhar ini?

1. Tafsir Al-Azhar dikarang oleh buya Hamka, seorang ulama nusantara yang faham konteks masyarakat nusantara.

2. Tafsir Al-Azhar adalah tafsir istimewa yang meraikan citra melayu. Lengkap dengan contoh tempatan nusantara, puisi, madah, sajak dan kata-kata indah bahasa melayu.

Anak Tiung atas Rambutan, Bernyanyi Bertongkat Paruh, Tertegun Kapal di Lautan, .Datang Angin Berlayar Jauh.


3. Bahasa yang halus dan kandungan penafsiran yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu.

4. Tafsiran yang diperakui para ulamak dan rujukan ramai ilmuwan.

Siapakah Buya HAMKA? Jom kita kenali.

TAFSIR AL-AZHAR, KARYA MONUMENTAL ULAMA 10 DALAM 1

HAMKA, ULAMA MELAYU, BERSTATUS ENSIKLOPEDIK, ULAMA 10 DALAM 1

Seorang pengkaji Buya Hamka bernama Ustaz Zahiruddin Zabidi menyatakan bahawa Hamka adalah antara ulama yang dianggap berstatus Eksiklopedik ataupun Mausu’i. Mengapa?

1. Beliau menguasai pelbagai disiplin ilmu walaupun beliau tidak pernah mendapat latar pendidikan tinggi secara formal.

2. Beliau banyak merantau mencari ilmu di Indonesia dan pernah merantau ke Mekah bagi mencari ilmu sambil menunaikan haji pada tahun 1927 iaitu pada usia 19 tahun.

3. Hamka digelar Ulamak Ensiklopedik kerana menguasai pelbagai bidang ilmu dengan cemerlang.

4. Beliau seorang SEJARAWAN dan antara karyanya yang hebat dan dirujuk sehingga hari ini adalah Sejarah Umat Islam.

5. Beliau juga seorang AHLI POLITIK dan pernah memenangi pilihanraya Indonesia pada tahun 1955 dan menduduki Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Indonesia.

6. Beliau juga seorang PENULIS dengan ratusan karya penulisan antaranya falsafah hidup (1939), tasauf moden (193) dan yang monumental adalah tafsir al-Azhar (1965).

7. Beliau juga seorang BUDAYAWAN dengan kebijaksanaannya dalam menulis karya kreatif yang terkenal sehingga ke hari ini, puisi, madah dan kebudayaan melayu terutamanya Minangkabau dalam karyanya, adat Minangkabau menghadapi revolusi.

8. Beliau juga seorang ULAMA yang diiktiraf sehingga menjadi pengerusi pertama Majlis Ulama Indonesia pada tahun 1975. Beliau juga diiktiraf dunia apabila menjadi orang melayu pertama diberikan gelaran Ustadzyah Fakhryyah (Doktor Honoris Causa) daripada Universiti Al-Azhar pada tahun 1958 dan Prof. Dr. Hamka dari UKM pada tahun 1974.

9. Beliau juga seorang SASTERAWAN dengan deretan novel yang dibaca sehingga sekarang antaranya Di bawah Lindungan Kaabah (1936), Tuan Direktur (1939), Merantau ke Deli (1940) dan yang paling terkenal adalah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1937)

10. Beliau juga seorang EDITOR, PENERBIT, WARTAWAN bagi majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.

11. Beliau juga seorang PEJUANG KEMERDEKAAN sehingga mendapat gelaran “Pangeran Wiroguna” oleh pemerintah Indonesia.

Terima kasih dan sebesar-besar penghargaan kepada PTS atas usaha penerbitan ini.

Berminat, klik sini.

Buku sampingan yang menceritakan tema yang sama

"Selalu kita dengar orang baik mesti kena 'buli' atau kena tindas dengan orang jahat. Namun, paparan kisah Nabi Yusuf adalah sebaliknya"

Oleh: Muhd Eirfan

Alhamdulillah telah diberi kesempatan membelek beberapa helaian Tafsir Fizilal Surah Yusuf. Surah yang cukup bermakna dalam penggalian kehidupan seseorang dan menjadi penawar hati Rasulullah setelah ditimpa dua musibah, iaitu kematian isterinya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Bila kita sebut Surah Yusuf, orang selalu sebut kisah Yusuf AS dengan wanita yang mahu menggoda baginda, kisah baginda dengan raja, kisah baginda mentafsir mimpi banduan... Padahal semua kisah ini adalah pendek. Ada kisah yang jauh lebih panjang dan ekstensif atau besar skopnya dalam Surah ini. Bahkan ia adalah 'storyline' utama surah ini, kisah-kisah lain cuma episod atau potongan pendek sahaja.

Tafsir Surah Yusuf karangan ulama nusantara

Kisah yang panjang itu adalah pengkhianatan dan mengubat kerosakan yang dihasilkan pengkhianatan.

43 ayat yang berkaitan pengkhianatan atau lebih sepertiga surah ini ialah kisah Nabi Yusuf AS 'membuli' semula abang-abang baginda yang mengkhianati baginda dan amanah ayah mereka Ya'qub AS dengan mencampak baginda dalam perigi dahulu.

Seorang Nabi adalah maksum dari melakukan maksiat, lalu mengapa Yusuf AS 'membuli' mereka sebegitu rupa, suatu perbuatan yang nampak macam menganiaya? Adakah Al-Quran menganjurkan, memuji, dan menggalakkan membalas dendam? Ini persoalan yang harus kita timbulkan.

Dr Ahmad Naufal dalam kitab karangan beliau Tafsir Surah Yusuf menceritakan panjang lebar, betapa mereka (adik-beradik Yusuf yang mengkhianati) perlu diasak dahulu, betapa ego mereka perlu dihancurkan dan ditundukkan dengan bijaksana, barulah mereka akan mengakui kesalahan pengkhianatan mereka setelah mereka kalah dan terkepung. Barulah Yusuf AS dapat kembali kepada pangkuan ibu bapa baginda dalam keadaan hubungan kekeluargaan sudah bersih, kosong-kosong, tiada lagi permusuhan, rasa terkilan, dengki, konspirasi, dan rasa tidak enak.

Kalau ego mereka tidak ditundukkan, mereka mungkin sekali akan melawan atau melarikan diri, hingga yang akan menjadi mangsa ialah ibu dan ayah mereka serta adik baginda. Silap-silap sampai ke hujung hayat baginda tidak akan dapat bertemu mereka kembali.

Antara tafsir yang dikarang dari perspektif psikologi

Kerana ego pengkhianat ini lain macam. Ia barah, membusuk dalam jiwa. Hingga para anak seorang Nabi pun perlu 'dibuli' dalam 43 ayat al-Quran baru barah ini dibersihkan dan dikafarahkan. Betapa beratnya dosa ini dalam hati manusia.

Kalau dijumlahkan ayat yang sebut pasal semua hukuman hudud pun tak sampai 43. Maknanya maqsid menginsafkan penjahat secara amnya atau pengkhianat secara khasnya diliputi paling kurang 43 ayat al-Quran. Belum dikira ayat-ayat surah lain.

Agama Islam bukan agama menyuruh berlemah-lembut sampai dibuli. Ia agama yang menyuruh menundukkan para pembuli dengan kekuatan dan hikmah kebijaksanaan supaya mereka insaf atau berhenti membuli. Dan salah satu aspek besar dalam Surah Yusuf yang disebut Al-Quran sebagai sebaik-baik kisah adalah kisah menundukkan pengkhianat.

Sebagai penutup, sebagai seorang muslim yang soleh, kita tidak boleh membiarkan diri kita ini tak berdaya guna sehingga 'dibuli', ditindas, dipaksa oleh pihak kemungkaran. Allah mengajarkan bagaimana kita harus menyelesaikan masalah ini dengan bijak dan hikmah melalui jalur kehidupan para rasul. Ia juga sebagai pemberi semangat kepada umat manusia supaya tidak putus asa dan bersedih malah bangkit terus melawan kemungkaran sehingga ia tunduk pada kita. Rasulullah sendiri apabila diwaktu menang dan kuat, tidak menggunakan kekuasaannya mengikut kemahuan, malah sewaktu Pembukaan Mekah, baginda berpesan semua penduduk agar masuk ke dalam rumah dengan selamat. Baginda memberi pelajaran yang setimpal pada musuh-musuh baginda.

Fath Mekah Rasulullah datang bersama ribuan sahabat

"Kuasa dalam Islam untuk menggerunkan musuh bukan niat untuk membalas dendam".

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.

"Jangan kita jadi orang soleh tapi tak berdaya guna".

Tafsir Fi Zilal karangan Syed Qutb kini dalam bahasa Melayu

Link Pembelian Tafsir Fi Zilal: sini

Link Pembelian Tafsir Al-Azhar: sini

Link Video Tafsir Surah Yusuf oleh Ustaz Nouman Ali Khan: sini

"Bukan senang nak jadi ibu yang tak garang. Aku rasa, hang still slow. Aku ni, garang."

Ulasan dibuat oleh penulis berdasarkan buku ini.

Slow yang dimaksudkan itu ialah lemah lembut. Ini bukan pertama kali saya dianggapi seperti itu. Santun melayani kerenah anak-anak. Tidak marah-marah. Jika marah pun, suaranya masih halus, tangannya tersimpan kemas tidak dihayunkan ke kulit si anak.

Iya, ada masa saya tertawa sahaja melihat telatah Nailah dan Ahmad (kedua anak saya) menjerit keriangan sambil menuangkan air ke atas lantai, kononnya main olok-olok menyiram pokok bunga. Namun memek wajah saya tidaklah hanya menampakkan keceriaan sentiasa seperti gambar ibu di papan iklan tepi jalan yang 'tak lokek dengan senyuman'.

Saya juga entah berapa kali merasa susahnya mengawal kemarahan. Adakala saya mengambil jalan mudah dengan melepaskan sahaja kepada mereka. Tiba waktu malam, melihatkan wajah redup mereka lena dibuai mimpi setelah seharian galak bermain, makan, bergaduh, dimarahi dan bermacam lagilah; buat hati saya dirudung sepi. Ketika anak-anak buat hal, mengapalah susah saya seimbangkan emosional dan rasional bahawa mereka hanya budak-budak yang logiklah bersifat kebudak-budakan.

"Anak-anak yang lahir ke dunia ibarat kain putih."

Sabda Nabi SAW, "Ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi." Kain yang tersalah potong, jika dijahit boleh buat pemakai berasa 'tak sedap dipakai'. Bagaimana pula rupanya kain yang dikoyak-koyakkan lalu dibentukkan menjadi sepasang persalinan?

Di sini, saya kongsikan sedikit beberapa refleksi saya setelah saya melakukan perbuatan melampaui batas terhadap anak-anak saya.

1.Bagi meredakan ombak kemarahan, praktikkan seperti apa yang disarankan Rasulullah SAW. Jika berdiri, duduk. Masih marah, baring. Tak reda lagi, ambillah wuduk. Sejukkan anggota badan dan hati yang sedang panas membara. Bila sudah bertenang, depakan tangan, jemput mereka masuk dalam dakapan. Peluk tubuh kecil mereka dengan penuh kehangatan. Tuturkan kemaafan secara spesifik. Contohnya, "Ibu minta maaf sebab tengking adik." "Abi minta maaf sebab cubit kakak." Kucup dahi dan ubun-ubun mereka.

2. Tidak berbangga dengan perbuatan amarah. Apa yang berlaku, kita simpan ia bak pekung di dada. Tidak dijaja merata-rata memang patutlah si anak diperlakukan sedemikian rupa. Jika mahu ceritakan, ceritakan kepada teman yang dipercayai. Niatkan untuk meminta nasihat. Jika sekadar mahu meluahkan, luahkan dengan nada merendah diri lalu bermuhasabah.

3. Hayati setiap bait zikir yang kita lafazkan kepada Allah. Selain mensucikan dosa, zikrullah juga melatih lidah kita menuturkan kata-kata yang baik sesama manusia. Mana mungkin lidah yang memuji Allah digunakan juga menyebut perkataan-perkataan yang kesat dan menyakitkan. Marah macam mana sekalipun, hindari mulut kita daripada melabel anak yang bukan-bukan. Ingatlah sabda Nabi SAW, "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam."

4. Belajar daripada sikap kepemimpinan terawal dahulu, iaitu Nabi Adam AS dan isterinya Hawa. Bagaimana mereka menyikapi perbuatan dosa dengan bertaubat. Iaitu menyesali, mensyukuri nikmat dikurniakan zuriat, tidak menjustifikasikan perbuatan kita terhadap anak dan berusaha menjadi ibu bapa yang lebih baik daripada semalam.

Anak-anak adalah darah daging kita. Kita ibu bapa mereka, yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan mereka. Ingatlah juga bahawa mereka ini adalah rezeki dan amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Bagaimana kita jalankan peranan dan tanggungjawab kita.

Apa yang saya kongsikan ini adalah daripada pengalaman sendiri menjaga sepasang cahaya mata, pengalaman kawan-kawan, orang sekeliling, seminar dan bacaan buku-buku keibubapaan. Anak-anak saya kini berusia 4 tahun ke bawah. Apa yang disarankan ini mungkin ada yang sesuai atau tidak untuk anak-anak pada peringkat usia yang lain.

Marah tandanya sayang.
Jika acapkali dimarahi, mana mahu rasanya kasih sayang.

Saya fikir, buat masa ini mereka 24 jam setiap hari dalam jagaan saya. Belum terdedah dengan media sosial, masyarakat luar dan pengaruh rakan sebaya. Jadi, sementara masih kecil, inilah waktunya untuk saya tunjukkan tauladan terbaik hatta apabila terlanjur membuat kesilapan, contohnya melampiaskan kemarahan secara membabi buta.

Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Dengan harapan secara tak langsung, mereka belajar bagaimana menghadapi situasi genting dengan solusi mengikut landasan agama. Lalu tumbuhlah mereka menjadi anak yang soleh, lembut lidahnya sering berdoa,

"Ya Allah. Ampunilah dosaku, dosa kedua-dua ibu bapaku. Dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami semasa masih kecil. Aminnn."

Hanisah Ismail,
Moga diberkati dan diredhai.

Apa yang kita boleh belajar dari doa Nabi Musa?

Selepas berlakunya peristiwa Nabi Musa a.s menumbuk seorang lelaki dari kaum lain dan lelaki tersebut mati, baginda melarikan diri ke Madyan kerana diburu oleh pegawai-pegawai firaun yang berpakat hendak membunuh baginda.

Perjalanan Nabi Musa ke Madyan

Setibanya baginda di satu sumber air Madyan, kelihatan ada sekumpulan orang yang sedang memberi minum kepada haiwan ternakan mereka. Tidak jauh dari kumpulan tersebut ada 2 orang wanita yang sedang menunggu giliran untuk memberi minum untuk kambing mereka.

Nabi Musa melihat kejadian tersebut lalu bertanya kepada 2 orang wanita tersebut, "Kenapa dengan kamu berdua?" Maka mereka pun menceritakan keadaan mereka yang kesulitan untuk memberi kambing mereka minum.

Setelah selesai membantu wanita-wanita tersebut, Nabi Musa duduk berteduh di bawah sebatang pokok lalu berdoa;

( رَبِّ إِنِّی لِمَاۤ أَنزَلۡتَ إِلَیَّ مِنۡ خَیۡرࣲ فَقِیرࣱ)

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan" (Surah al-Qasas: 24)

Jom kita sama-sama hafal dan amal

Imam Ibn Kathir berkata, doa yang diucapkan Nabi Musa ini didengari oleh wanita yang ditolong baginda tadi dan mereka menceritakan apa yang berlaku pada ayah mereka.

Jika kita lihat kembali apa yang sedang berlaku pada Nabi Musa, baginda dalam keadaan penat, ketakutan dan juga sangat lapar kerana saat itu baginda sedang diburu oleh pegawai-pegawai firaun yang berniat hendak membunuh baginda.

Dari doa yang diucapkan kita boleh lihat dan belajar seni berdoa kepada Allah s.w.t iaitu apabila hendak berdoa, berdoalah dengan penuh rendah diri dan mengharap pada Allah s.w.t. Tidak salah berdoa dalam keadaan rasa takut.

"Ya Allah, aku sedang takut, letih dan lapar, maka aku perlukan apa sahaja kebaikan yang Engkau boleh berikan."

Syeikh Abdurrazaq al-Badr berkata, jika kita renung doa ini, inilah cara terbaik untuk kita mendekatkan diri dengan Allah iaitu menzahirkan rasa betapa perlunya kita kepada Allah dan kita lemah tidak mampu nak buat apa-apa.

Doa Nabi Musa ini dikabulkan segera. Jika kita lihat pada huruf (ف) dalam ayat seterusnya yang bermakna kemudian dan dalam kadar yang segera, serta merta etc. Maknanya, selepas sahaja baginda berdoa, terus dikabulkan doa tersebut.

Dalam ayat seterusnya, Nabi Musa dijemput oleh ayah wanita-wanita tersebut, dijamin keselamatannya dari pegawai firaun yang sedang memburu baginda, ditawarkan pekerjaan dan dinikahkan dengan salah seorang daripada wanita tersebut. MasyaaAllah betapa pentingnya doa ini untuk kita amalkan.

Perlu juga kita beri perhatian, sebelum Nabi Musa berdoa, baginda melakukan satu perbuatan terpuji iaitu menolong wanita-wanita yang dalam kesusahan itu tanpa meminta apa upah atau balasan, sedangkan ketika itu baginda sedang lapar. Boleh sahaja jika baginda minta makanan sebagai balasan.

Inilah sebenarnya kunci mustajab dan makbulnya doa seseorang. Amal kebaikan yang dibuat secara ikhlas. Ada kisah 3 orang lelaki berdoa dengan cara bertawassul dengan amal baik mereka dan doa mereka dikabulkan serta merta. Maka simpan dan jaga baik-baik amal baik kita, mungkin satu hari nanti kita perlukannya.

Syeikh Muhammad Salih asy-Syawi berkata, ayat ini mengajar kita agar sentiasa meminta kepada Allah dalam semua keadaan, baik yang berkaitan dengan agama (seperti hidayah dan keampunan) mahupun yang berkait dengan dunia (seperti meminta makan, minum dan pakaian).

Wallahualam. Selamat beramal dengan doa Nabi Musa & Nabi Zakaria. Ingin tahu persamaan doa Nabi Musa & Ashabul Kahfi?

Hakim Rasid

Berbunga hati apabila mendapat khabar kenalan terdekat kita dikurniakan rezeki berbadan dua. Teringat dahulu teman baik menghantar mesej WhatsApp kepada saya. Beliau memaklumkan berita dua garis pada kit ujian kehamilan, tanda positif beliau mengandung. Bergenang air mata keharuan kerana setelah 2 tahun beliau mengikat tali pernikahan dengan suaminya dan ini merupakan kandungan pertama beliau.

ibu-ibu harus mempunyai ilmu sebagai persediaan mengandung

Kemudian beliau bertanyakan, buku apa yang boleh beliau baca sebagai panduan mengenai kehamilan dan kelahiran. Soalan ini pernah juga ditanyakan oleh teman rapat saya yang lain kerana saya antara yang terawal berpengalaman mengandung dan melahirkan anak.

Berikut adalah bahan bacaan serta informasi mengenai kandungan dan kelahiran.

1. Laman Web babycenter.com.my


Kita boleh memilih sama ada membuat bacaan berkala mengikut topik yang diingini atau langgan secara percuma dengan memasukkan usia kandungan dan alamat emel kita. Sepanjang tempoh mengandung, setiap hari Isnin, kita akan menerima emel informasi mengikut minggu kandungan tersebut. Laman ini diiktiraf oleh healthonnet.org. Jika artikel yang disiarkan berkaitan kesihatan kandungan, pada akhir kata kita akan disarankan untuk berjumpa dengan ahli perubatan yang diiktiraf untuk diagnosis dan rawatan lanjut.

2. Buku Info Kehamilan dan Kelahiran


Terdapat banyak buku panduan kehamilan dan kelahiran yang kita boleh dapati di pasaran. Bahan bacaan yang saya pilih adalah:

a) Kehamilan dari Prakonsepsi sehingga Kelahiran
Buku ini terjemahan semula daripada buku Pregnancy from Preconception to Birth. Ianya merupakan tulisan gabungan pakar dari United Kingdom yang menulis di laman web babycenter. Info yang diberikan mengikut minggu kelahiran. Seperti tajuk buku, bermula dari persediaan sebelum mengandung sehingga melahirkan anak.

Kini sudah ada terjemahan bahasa

b) The Complete Idiot's Guide To Pregnancy & Childbirth
Buku ini saya beli daripada kedai buku terpakai dengan harga yang sangat rendah. Selain info berkaitan kehamilan, ianya juga memberi saranan apa yang ibu boleh buat mengikut tempoh kandungan. Juga maklumat penting yang perlu diambil tahu oleh suami. Buku ini seronok dibacakan bersama-sama pasangan.

c) Buku Pink: Cerita-cerita Ibu Mengandung (Siri 1 & 2)
Buku ini adalah perkongsian pengalaman, panduan kesihatan dan info berkaitan kehamilan serta kelahiran. Ditulis oleh ahli perubatan di Malaysia dengan nada santai, runcit dengan pelbagai kisah lucu, memberi inspirasi dan menyentuh hati.

Kumpulan cerita dan nukilan doktor dan pakar

3. Perkongsian di Media Sosial


Selain itu, kita juga boleh ikuti perkongisan doktor yang ahli dalam dunia kehamilan dan kelahiran. Contohnya Dr. Imelda Balchin, Dr. Muhammad Izzat dan rakan seangkatan. Mereka adalah antara doktor yang berkecimpung secara langsung menyantuni wanita hamil dan menyambut kelahiran bayi.

4. Nasihat Jururawat dan Doktor


Setiap kali menghadiri temu janji berkala di Klinik Kesihatan Kerajaan, ceritakan sebarang perubahan yang berlaku pada badan dan ajukan apa-apa pertanyaan yang kita tidak faham daripada bahan bacaan berkaitan kandungan serta kelahiran. Syukur jururawat yang memantau saya pada kedua-dua kandungan amat prihatin dan memberi servis terbaik sehingga saya selamat melahirkan anak. Juga doktor yang sering memberi penerangan berdasarkan fakta dengan laras bahasa mudah difahami. Kadang kala, saya bertanyakan sahabat berkerjaya sebagai doktor melalui mesej apa yang perlu saya buat untuk masalah sekian-sekian. Akhirnya jawapan yang diberikan adalah meminta saya ke hospital, kerana diagnosis secara muka-ke-muka lebih jelas dan meyakinkan sebagai pertimbangan rawatan apa yang sesuai untuk diberikan.

Jika dahulu, informasi tentang kesihatan wanita hamil dan bersalin amat sukar didapati. Lalu timbullah petua yang bermanfaat, tidak kurang juga mitos yang memudaratkan.

Kini, kita dilambaki dengan pelbagai info yang mudah dicari kerana semuanya di hujung jari. Sebagai ibu bapa yang bakal menyambut cahaya mata, pastikan info yang didapati adalah sahih. Apa yang kita baca jadikan ia sebagai informasi awam, yang bertujuan mendidik kita.

Elakkan daripada bertanya secara atas talian kerana setiap wanita hamil mempunyai rekod kesihatan yang berbeza. Sebarang keraguan mengenai tahap kesihatan ibu dan kandungan bayi, sila dapatkan rawatan dengan doktor atau pakar perubatan kesihatan.

Kepada yang bakal menimang cahaya mata, semoga penulisan ini bermanfaat buat kalian.

Hanisah Ismail,
Ibu kesah kerana ibu kaseh.

Apa yang kita boleh belajar dari kisah Nabi Zakaria a.s?

1. Kisah Nabi Zakaria yang dirakamkan dalam 3 surah yang berlainan iaitu di dalam Surah Ali-Imran, Surah Maryam dan Surah al-Anbiya'. Persamaan yang dapat dilihat adalah tentang doa Nabi Zakaria memohon kepada Allah untuk mengurniakan zuriat bagi meneruskan kerja dakwah Baginda.

Nabi Zakaria berdia kepada Allah.

2. Di dalam al-Quran, kita dikhabarkan bahawa ketika Nabi Zakaria berdoa itu baginda sudah lemah tua sebagaimana yang diadu oleh baginda;

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu." (Surah Maryam: 4)

Ada ulama' yang menyatakan bahawa umur baginda dah mencapai 100 tahun manakala isteri baginda berumur 90 tahun dan mandul. Maka bagaimana mungkin baginda hendak memperolehi zuriat?

Disinilah dapat kita belajar bahawa Allah Maha Berkuasa untuk lakukan apa sahaja. Sekalipun akal manusia kata tidak logik dan mustahil tetapi ia tidak mustahil bagi Allah. Semua perkara adalah mudah dan tidak menjadi masalah pun untuk-Nya.

Allah s.w.t berfirman:

"Hal itu mudah bagiKu..." (Surah Maryam: 9)

Semua perka mudah bagi Allah

Akhirnya Allah s.w.t kabulkan permohonan baginda dan kurniakan seorang anak lelaki dan lebih istimewa Allah sendiri yang pilih nama untuk anak baginda iaitu Yahya a.s.

3. Jika kita lihat doa baginda kita akan belajar tentang adab dan etika ketika berdoa meminta sesuatu dari Allah s.w.t.

Dari kisah Nabi Zakaria kita boleh faham bahawa apa yang kita doa tidak semestinya dikabulkan dalam sekelip mata. Adakalanya apa yang kita minta itu Allah tidak kabulkan dan ganti dengan yang lain atau Allah tangguhkan pada waktu yang Dia kehendaki.

Baginda tidak pernah berputus asa untuk berdoa pada Allah memohon dikurniakan zuriat. Baginda tetap berdoa pada Allah tanpa rasa jemu. Inilah sifat ikhlas seorang hamba dengan Tuhannya.

Lihat Surah Maryam untuk mengetahui kisah Nabi Zakaria.

Pengajaran buat kita juga yang kadang-kadang suka tergesa-gesa dalam berdoa. Kalau boleh nak Allah kabulkan doa sekelip mata juga. Apabila hendak meminta sesuatu dari Allah, jadi rajin ibadah dan buat amal kebaikan. Tetapi andaikata Allah belum kabulkan dia berputus asa dan kembali lupakan Allah.

Jika kita renung semula kisah Nabi Zakaria, Baginda tidak pernah berputus asa untuk memohon kepada Allah hatta baginda dah tua yang amat sangat. Dan penantian itu tidak mengurangkan ketaatan baginda terhadap Allah.

Ini yang kita boleh amalkan dalam hidup kita, jangan pernah berputus asa untuk meminta kepadaNya sekalipun dia belum kabulkan. Dan jangan pula ketaatan kita kepada Allah berkurang kerana Allah belum kabulkan apa yang kita minta.

Usia bukan penghalag kita putus asa dalam berdoa.

4. Apabila hendak meminta sesuatu dari Allah, pujilah Allah terlebih dahulu, akui kekurangan dan kelemahan diri di hadapan Allah, nyatakan rasa betapa perlunya kita pada Allah dalam hidup kita. Ulama kata, inilah antara adab berdoa dan sebab Allah kabulkan doa kita.

5. Berdoalah dengan suara yang perlahan, tidak perlu sampai memekik melolong kerana berdoa dengan suara yang perlahan dan rendah menggambarkan kita merendah diri di hadapan Allah s.w.t.

6. Allah tidak mengulang kisah yang sama di dalam al-Quran tanpa sebab. Apabila Allah s.w.t mengulang-ulang sesuatu menandakan ada mesej penting yang perlu kita faham dan pegang.

Adab dan etika berdoa yang diajarkan Rasulullah

Oleh kerana sikap manusia yang suka tergesa-gesa untuk dimakbulkan, andai kata tidak dapat maka dia meninggalkan doa. maka kita perlu lihat bagaimana sabarnya Nabi Zakaria meminta dari Allah dan penantian itu tidak pula mengurangkan ketaatan baginda kepada Allah.

Hakikatnya inilah yang berlaku dalam hidup kita seharian, ada perkara yang kita mahukan maka kita berdoa, memohon kepadaNya. Adakalanya kita perlu bersabar dan terus berdoa dalam masa yang lama sehinggalah Allah tunaikan permintaan kita itu. Apa yang Allah tunaikan itu sebenarnya adalah hadiah yang terbaik untuk kita dariNya, berbaloilah penantian kita tersebut.

Wallahualam.

Penulis: Ustaz Hakim Rasid

Akhlak Hadapi COVID-19: 7 Teladan Dari Surah Yusuf

1. Menjadi ayah yang dicintai

Nabi Yusuf, anak kesayangan Nabi Haron

Ayat 4: 

إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَٰٓأَبَتِ إِنِّى رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِى سَٰجِدِينَ

(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku".

Dari ayat berikut, kita cuba pada panggilan Nabi Yusuf kepada ayahnya dengan “يَٰٓأَبَتِ (Ya Abati)” yang bermaksud “wahai ayah yang aku cintai”, bukan “Abi” yang menjadi kebiasaan masyarakat umum. Ayat ini menakjubkan kita semua kepada Nabi Yusuf kerana sebelum beliau menceritakan mimpi, beliau meletakkan nilai kasih sayang dan cinta antara seorang anak dan ayahnya serta pastinya perhubungan ini dirakamkan bertujuan menunjukkan hubungan mesra mereka yang sudah terjalin begitu lama.

Maka, sepanjang tempoh PKP ini, sebagai seorang ayah, haruslah kita menjadi pendengar kepada anak-anak kita atau ahli keluarga kita. Tanyalah pada diri, adakah berlaku peningkatan kualiti kekeluargaan atau kita sudah menjadi ketua keluarga yang baik sepanjang 6 minggu bersama keluarga?. Paling kurang, kita menjadi pendengar kepada anak-anak kecil bercerita walaupun sekadar kisah imaginasi, dongeng dan mimpi mereka.

“Children will listen to you after they feel listened to” 

Karakter ibubapa Nabi Yaqub diiktiraf oleh Allah dalam ayat ini, di mana perkataan “لأبي (Abi) disebutkan. Bahkan, jika disebut dengan “ليعقوب" juga membawa pengertian yang sama dan boleh juga difahami. Namun, Allah memuliakan beliau sesuai dengan tindakannya sebagai bapa kepada anak-anaknya, 11 orang kesemuanya. Pemilihan perkataan dalam Al-Quran amatlah tepat dan mempunyai mesej tersendiri.

2. Menjauhi zina mata atau pornografi

Lelaki dan perempuan turut sama menjaga mata

Ayat 23: 

وَرَٰوَدَتْهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِۦ وَغَلَّقَتِ ٱلْأَبْوَٰبَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ إِنَّهُۥ رَبِّىٓ أَحْسَنَ مَثْوَاىَ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّٰلِمُونَ

Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".

Allah menggambarkan usaha isteri Al-Aziz (atau lebih dikenali dengan gelaran Zulaikha, nama sebenar Ra’il dalam Tafsir al-Baghawi) yang cuba menggoda Nabi Yusuf akibat tidak menundukkan pandangan melihat ketampanannya. Bermula dari pandangan, dia cuba menggoda Nabi Yusuf dan akhirnya kepada tindakan fizikal mengunci pintu agar maksiatnya tidak dilihat oleh orang ramai. Dia berkata “هيت لك" menunjukkan akalnya sudah tidak waras dan syaitan benar-benar telah menguasainya. Yusuf tidak tunduk pada godaan itu (ketika itu bujang) dan mengucapkan doa yang sewajarnya di mana beliau merasa Allah Maha Melihat lalu memohon perlindungan-Nya.

Sepanjang RMO ini, kita bimbang dengan statistik yang dikeluarkan oleh satu laman web porno di mana Malaysia menduduki tempat tertinggi mengakses pornografi. Nauzubillahi min zalik. Bermula dari pandangan, syaitan bekerja menghiasi keindahan maksiat mata, lalu menggelapkan hati seterusnya berkemungkinan berpindah kepada tindakan fizikal jika tidak dibendung dengan baik selepas perintah berkurung ini. Kita mungkin cuti berehat di rumah #StayHome namun syaitan tidak pernah berehat dari kerja asasinya. 

Surah Yusuf dengan jelas menceritakan bagaimana operasi seseorang mampu mengheret ke lembah perzinaan serta solusi doa (pertahanan) yang diajarkan. Kisah ini pendek kata boleh dijadikan pedoman kepada kaum lelaki yang muda, bujang dan berjauhan dari ibubapa atau masyarakat, di negara bukan Islam mirip dengan situasi Nabi Yusuf. Indahnya surah ini juga, Allah mencatat sebagai pemerhati segala perbuatan isteri Al-Aziz sama ada tersurat dan tersirat di dalam hati sedangkan tiada manusia memerhatikan kecuali Allah. 

Bersambung...

Klik penuh di sini

Risalah Harmoni

RISALAH HARMONI 
SDN BHD

1 July 2020
Tutorial Tafsir Ansuran

Terima kasih kerana berminat. Untuk makluman, pembayaran ansuran boleh dilakukan dengan 2 cara: 1. Shopee Boleh terus ke kedai Shopee kami. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda tahu: Langkah 1: Klik Button Oren “Buy Now” Langkah 2: Tekan Button Oren “Checkout” Langkah 3: Pilih “Select Payment” Langkah 4: Tekan “Credit Card Installment” Langkah 5: Pilih […]

Read More
12 June 2020
Doa Minta Maaf Dalam Al-Quran Yang Selalu Kita Abaikan

Doa ini selalu menjadi wirid yang diamalkan dalam masyarakat kita. Ada yang jadikan sebagai wirid selepas solat, dalam tahlil pun ada, dalam ma'thurat pun ada. Jadi saya rasa doa minta maaf ini tidak asing dari pengetahuan kita. Apakah doa minta maaf itu? Firman Allah s.w.t; (... رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَاۤ إِن نَّسِینَاۤ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ...) "Wahai Tuhan […]

Read More
11 June 2020
Ramai Yang Tahu Doa Terbaik Ini Tapi Tidak Tahu Makna Disebaliknya

Apakah doa terbaik itu? Allah s.w.t berfirman; "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Surah Al-Baqarah:201) Kebanyakan doa yang disebut di dalam al-Quran banyak bermula dengan bertawassul dengan kekuasaan Allah. Kerana dengan bertawassul itu adalah cara terbaik untuk kita mencapai apa yang dihajatkan serta dijauhkan dari […]

Read More

Dapatkan buku terkini secara online!

Kedai buku Risalah Harmoni dibuka 24 / 7!
Pembelian melalui website.
Risalah Harmoni Sdn Bhd 2020
Terms & Conditions | Privacy Policy
Designed by overlord_access
Buku
Merchandise
Questions or Feedbacks?
We'd love to hear from you
Buku
Merchandise
Contact us through WhatsApp
Risalah Harmoni Sdn Bhd 2020. Terms & Conditions | Privacy Policy. Designed by overlord_access
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram